Strategi Buat Duit Raya Reloaded!

0 comments

 
 
Selalunya semasa tibanya Bulan Ramadhan di Malaysia di mana semua umat Islam berpuasa, akan menjadi agak sukar untuk menjana keuntungan yang baik sebagai seorang usahawan internet.
 
Barang-barang atau produk-produk yang laris pada bulan-bulan lain, akan mendapat permintaan dan pembelian yang kurang apabila tibanya bulan Ramadhan.
 
Ini adalah kerana sebilangan besar daripada pembeli di pasaran Malaysia beragama Islam dan mereka lebih menumpukan masa dan fikiran mereka di dalam menjalani ibadah Puasa dan juga melakukan ibadah-ibadah lain pada masa tersebut. Mereka tidak akan terfikir untuk membeli barangan atau produk-produk yang mungkin mereka akan berminat untuk membeli pada bulan-bulan lain.
 
Jadi adakah anda sudah bersedia untuk menghadapi cabaran kekurangan keuntungan pada waktu tersebut?
 
Adakah anda telah menyusun strategi lain untuk menjana wang daripada keadaan tersebut?
 
Jika belum, di dalam artikel pada kali ini saya ingin berkongsi strategi mudah yang boleh membantu anda untuk menjana wang semasa Bulan Ramadhan ini.
 
Walaupun barangan dan produk-produk biasa tidak akan laku pada masa tersebut, masih terdapat barangan dan produk-produk yang PASTI akan mendapat permintaan iaitu yang berkaitan dengan perayaan Hari Raya yang akan tiba selepas Bulan Ramadhan nanti!
 
Di samping umat Islam semua menjalani ibadah puasa, sudah pasti mereka juga akan mula bersedia untuk menyambut tibanya Hari Raya Aidilfitri. Ini merupakan peluang terbaik anda untuk menjana keuntungan pada bulan yang berkat ini.

 
Berikut saya senaraikan beberapa idea barangan yang boleh anda jual secara online semasa tibanya Bulan Ramadhan nanti:
 
1. Kuih Raya
 
Ini merupakan di antara barangan yang paling laris terjual semasa bulan puasa. Sebilangan besar kaum wanita akan mula mencari-cari bekalan kuih raya untuk dibeli sebagai persiapan untuk menjamu tetamu semasa Hari Raya nanti. Oleh itu, anda boleh mengambil peluang mudah daripada permintaan pasaran pada masa itu.
 
2. Baju Raya
 
Ini juga merupakan salah satu barang yang laris semasa Bulan Ramadhan nanti. Sudah pasti semua orang tidak mengira tua atau muda, lelaki atau wanita akan mula mencari baju raya yang akan mereka pakai apabila tibanya Hari Raya nanti. Baju raya yang saya maksudkan ini tidak semestinya baju melayu atau baju kurung sahaja. Sebarang pakaian seperti T-Shirt, kemeja atau baju lain juga akan mendapat permintaan sekiranya ia mempunyai rekaan yang menarik dan sesuai untuk pergi "beraya".
 
3. Kad Raya
 
Di sini terdapat dua peluang yang boleh anda perolehi iaitu menjual kad raya dalam bentuk fizikal atau menjual kad raya dalam bentuk elektronik. Kad raya fizikal merupakan kad raya biasa yang boleh kita poskan kepada orang lain. Walaupun pada zaman sekarang teknologi sudah canggih, masih terdapat ramai lagi orang yang masih suka menghantar kad raya dalam bentuk fizikal. Mereka menganggap menghantar kad raya dalam bentuk fizikal mempunyai lebih personal touchberbanding menghantarnya secara elektronik. Namun demikian, terdapat golongan yang lebih technology savvy, mereka lebih suka menghantar kad raya dalam versi elektronik. Jika anda mempunyai kepakaran dalam bidang grafik, anda boleh menghasilkan kad raya elektronik khas yang boleh anda jual kepada orang lain. Dengan cara ini, reputasi anda akan meningkat kerana anda menghasilkan kad raya elektronik yang lebih menarik berbanding kad raya fizikal biasa.
 
4. Sampul Duit Raya
 
Apabila tibanya Hari Raya, perkara yang wajib disediakan adalah sampul duit raya. Apabila kanak-kanak tiba di rumah anda untuk beraya, maka sebagai tuan rumah kita perlu menghulurkan duit raya. Oleh itu, ia merupakan satu barang yang menarik dan pasti laris dijual pada Bulan Ramadhan ini. Kita selalu melihat syarikat-syarikat besar menggeluarkan sampul-sampul duit raya mereka yang selalunya nampak biasa saja. Apa kata jika anda menghasilkan sampul duit raya yang lain dari yang lain dengan rekaan yang lebih menarik dan hebat? Sudah pasti ramai orang ingin mendapatkan sampul duit raya yang anda jual. Jika anda mampu memberikan kebebasan kepada si pembeli untuk memilih rekaan atau susunan di atas sampul duit raya mereka sendiri, maka ia akan meningkatkan permintaan terhadap sampul duit raya anda itu.
 
5. Aksesori Baju Raya
 
Apabila seseorang sudah memiliki sepasang baju raya, maka selepas itu sudah pasti mereka akan berusaha mencari aksesori untuk baju raya mereka itu. Untuk lelaki, mereka pasti akan mencari songkok, kain samping dan juga butang baju melayu. Untuk wanita, mereka pasti akan mencari tudung, kerongsang dan juga sandal yang berpadanan dengan baju kurung yang telah mereka beli. Oleh itu, sebarang aksesori yang boleh dikaitkan dengan baju raya yang telah dibeli boleh menjadi barangan yang laris untuk dijual semasa bulan Ramadhan ini.
 
6. Gift Basket
 
Selalunya syarikat-syarikat korporat dan swasta yang mempunyai ramai pelanggan atau client yang terdiri daripada syarikat korporat atau swasta yang lain, akan pasti ingin menghantar bungkusan hadiah atau gift basket kepada pelanggan mereka. Pengisian gift basket ini boleh terdiri daripada pelbagai barangan. Ada yang menghantar kurma, ada yang menghantar kuih raya dan ada juga yang menghantar hamper yang besar. Biasanya syarikat-syarikat ini tidak akan membuat sendiri gift basket tersebut dan mereka akan lebih senang untuk outsource atau memberikan kerja tersebut kepada orang lain. Oleh itu, sekiranya anda mempunyai pengetahuan dan pengalaman di dalam menghasilkan gift basket, anda boleh menawarkan perkhidmatan anda ini kepada orang lain atau kepada syarikat-syarikat tersebut. Jika anda mampu memancing pelanggan daripada syarikat-syarikat korporat dan swasta, maka anda berpeluang untuk menjana keuntungan yang baik kerana mereka pasti akan memerlukan gift basket dalam kuantiti yang banyak untuk diberikan kepada pelanggan-pelanggan mereka. Anda boleh menawarkan perkhidmatan ini secara lengkap iaitu daripada aspek pencarian barang untuk diberikan, pembungkusan untuk menjadikan gift basketsehinggakan kepada penghantaran barang tersebut kepada pelanggan. Strategi ini akan dapat menarik perhatian pengunjung untuk mendapatkan perkhidmatan anda.


 
Akhir kata daripada saya, jangan jadikan Bulan Ramadhan alasan kepada anda untuk tidak menjana sebarang keuntungan semasa bulan tersebut. Walaupun barangan dan produk-produk yang anda biasa jual pada bulan-bulan lain laris tetapi tidak pada Bulan Ramadhan, ini tidak bermaksud yang tiada langsung barangan yang boleh anda jual semasa waktu tersebut.
 
Apa yang penting adalah anda terus berusaha dan berfikir secara kreatif untuk mencari peluang-peluang keuntungan yang wujud pada masa itu.
 
Sehingga bertemu lagi di kesempatan yang lain, salam hormat dan salam kejayaan dari saya. :)

 

perkongsian: www.RahsiaRajaLelong.com  

Kepentingan Rundingan Dalam Perniagaan

0 comments


Sebagai seorang usahawan internet, lebih-lebih lagi jika anda merupakan seorang penjual barangan berbentuk fizikal, selalunya anda akan menjadi orang tengah di antara pembekal barangan dengan pembeli barangan. Ini dilakukan dengan cara mendapatkan bekalan barangan daripada si pembekal dan anda menjualnya semula pada harga yang lebih tinggi kepada orang lain sama ada melalui portal eBay, Lelong, Facebook atau di laman web anda sendiri.

Sesetengah usahawan internet biasanya akan berpuas hati dan akur sahaja terhadap harga yang ditetapkan oleh pembekal barangan kepadanya. Namun demikian, tahukah anda bahawa sekiranya andamengambil inisiatif untuk merunding harga bekalan tersebut, anda berkemungkinan mendapatkan harga yang lebih baik berserta dengan terma yang lebih memihak kepada anda? Anda cuma perlukan beberapa skil rundingan untuk mendapatkan keuntungan yang lebih baik dalam perniagaan internet anda.
Di sini saya ingin kongsikan beberapa kelebihan melakukan rundingan dan juga beberapa tips ringkas berkenaan cara untuk memupuk skil rundingan dalam perniagaan internet anda.

Kelebihan Memiliki Skil Rundingan
 
Dengan memiliki skil rundingan yang tepat, anda sebagai pembeli boleh:
1.   Mendapatkan harga belian terbaik daripada pembekal
2. Mendapatkan kuantiti dan kualiti barang yang anda inginkan pada harga terbaik.
3. Mendapatkan perkhidmatan selepas jualan terbaik daripada pembekal.

8 Tip Rundingan
 
Berikut saya senaraikan beberapa tip ringkas bagaimana untuk mengasah skil rundingan di dalam perniagaan internet anda:
1. Jangan rasa bersalah
 
Pertama sekali, anda tidak boleh merasa bersalah sekiranya meminta harga diskaun dan ingin berunding dengan pembekal. Lazimnya, harga yang diletakkan oleh pembekal adalah melebihi daripada kos mereka untuk membuat atau mendapatkan barangan jualan. Sekiranya kena caranya, pembekal akan dengan senang hati memberikan diskaun kepada anda kerana anda sudi berurusniaga dengan mereka dan berunding dengan cara berhemah dengan mereka.
2. Lakukan kajian
 
Sebelum memasuki arena rundingan, terlebih dahulu anda perlu mendapatkan maklumat lengkap mengenai barangan dan situasi yang berkaitan, seperti butiran model, harga, spesifikasi dan sebagainya untuk barang yang anda inginkan daripada pembekal. Anda tentu tidak mahu berunding untuk sesuatu yang sebenarnya anda sendiri tidak arif akan butirannya. Oleh itu, persiapan dengan memiliki maklumat yang menyeluruh akan dapat membantu anda semasa melakukan rundingan tersebut.
3. Bandingkan dengan tawaran pembekal
 
Setelah membuat kajian dan anda kini mempunyai maklumat berkaitan, anda bolehlah membandingkan harga yang ditawarkan oleh pembekal anda sama ada sesuai atau tidak. Anda mesti yakin bahawa harga yang ditawarkan oleh pembekal adalah sangat tinggi dan anda layak untuk berunding bagi mendapatkan harga yang lebih murah. Sekiranya terdapat pembekal lain yang boleh menawarkan harga yang lebih murah daripada apa yang anda terima daripada pembekal anda sekarang, sepatutnya tiada masalah untuk anda menghubungi pembekal lain tersebut untuk mendapatkan sebut-harga barangan daripada mereka.
4. Terma menyebelahi pembekal
 
Selalunya terma atau syarat di dalam pernjanjian atau kontrak anda dengan pembekal adalah berat sebelah. Ini bermaksud yang syarat dan terma tersebut adalah lebih berpihak kepada si pembekal. Oleh itu, anda mempunyai hak untuk berunding terma dan syarat kontrak supaya sama adil antara anda sebagai pembeli dan pembekal sebagai penjual.
5. Jangan terpengaruh dengan terma saintifik
 
Tip seterusnya yang anda perlu ingat ialah untuk tidak terpengaruh dengan sebarang terma saintifik yang digunakan oleh pembekal. Ini adalah kerana mereka mungkin cuba untuk mengalih perhatian anda dengan membuatkan anda kagum dengan kelebihan barangan mereka, dan barangan itu memang patut diletakkan harga yang mahal. Sebaliknya, anda telahpun membuat kajian ringkas mengenai barangan itu tadi, dan anda sendiri sebenarnya sedia maklum akan spesifikasi barangan tersebut dan harga yang berpatutan untuknya.
6. Capai "win-win situation"
 
Sebaik-baiknya di dalam rundingan, anda mengutamakan win-win situation atau situasi sama menang di mana anda dan si pembekal mendapat kelebihan di dalam syarat dan terma masing-masing. Anda harus ingat bahawa hubungan anda dengan pembekal adalah bersifat jangkamasa panjang dan hubungan baik yang anda bina ini akan memudahkan urusniaga anda yang lain pada masa hadapan. Oleh itu, jangan hanya ingin menangkan diri anda saja di atas meja rundingan tetapi cuba juga untuk membantu pembekal mendapat terma dan syarat yang baik daripada anda sebagai seorang usahawan internet.
7. Capai kata sepakat
 
Anda perlu memastikan bahawa sebarang persetujuan yang dicapai hasil daripada rundingan tersebut disepakati ketika itu juga dan juga dimasukkan di dalam minit perbincangan. Anda tidak seharusnya membiarkan keputusan itu tertakluk kepada perkara-perkara lain seperti penulisan perjanjian, kelulusan pengarah, nasihat peguam, inspeksi lokasi dan sebagainya. Ini untuk mengelakkan daripada si pembekal bertukar fikiran setelah berunding dengan anda. Sebaik-baiknya, si pembekal perlu membawa individu-individu yang boleh membuat keputusan untuk syarikatnya di dalam rundingan bersama anda.
8. Tulis semua perjanjian
 
Tip yang paling penting adalah anda mesti memastikan sebarang perjanjian yang dicapai dalam rundingan anda adalah dalam bentuk hitam putih dan ditandatangani oleh anda dan pembekal. Anda tidak seharusnya membiarkan perjanjian tersebut berakhir di mulut sahaja, kerana di lain hari, pembekal mungkin lupa akan perjanjian yang disepakati hasil rundingan anda. Ia juga untuk mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari sekiranya terdapat keadaan yang memerlukan kes anda dibawa ke mahkamah. Pihak hakim akan memerlukan bukti tertulis daripada anda untuk diterima di mahkamah.

 

Itulah sedikit perkongsian saya pada kali ini mengenai kepentingan dan tip rundingan di dalam perniagaan anda sebagai usahawan internet.
 
Kebolehan dan  keupayaan melakukan rundingan akan mengambil masa untuk dipupuk dan dikuasai. Oleh itu, mulalah berusaha dari sekarang agar anda boleh menjadi seorang usahawan internet yang hebat di dalam rundingan di masa hadapan.
 
Sehingga bertemu lagi di kesempatan yang lain, salam hormat dan salam kejayaan dari saya. :)

 

Teknik Mengatasi Pesaing Anda Dalam Perniagaan

0 comments




Dalam perniagaan anda samada online atau offline sememangnya kita kena akui persaingan daripada usahawan lain juga terdapat dalam perniagaan. Persaingan ini memang sentiasa berlaku dalam perniagaan kita tak kira kita mahu atau tidak kita tetap kena hadapi perkara ini juga. 

Jadi, dalam artikel ini saya akan kongsikan cara untuk anda mengatasi persaingan dalam perniagaan dengan mudah dan terus menarik ramai pelanggan untuk membeli produk daripada anda. Anda sudah bersedia? jom saya tunjukkan :)

  1. Wujudkan kekuasaan anda di pasaran. Pasaran itu mesti faham bahawa anda adalah pemimpin dalam apa jua yang anda buat. Jangan mudah terperangkap dalam apa-apa jangkaan. Anda boleh wujudkan kekuasaan anda dengan menjadi visible di mana saja anda boleh dan dengan memberikan kandungan berinformasi tentang produk anda di sebanyak mana tempat yang anda boleh. Menjawab pertanyaan adalah satu lagi cara yang mana anda boleh tunjukkan dominasi anda dalam bidang anda.

  1. Kenakan harga pada produk anda dengan wajar. Itu tidak bermaksud anda terpaksa sepit produk anda dengan harga yang paling rendah. Ia cuma bermaksud bahawa anda harus berikan kepada orang nilai yang tepat untuk apa yang mereka belanjakan. Jika produk anda lebih mahal daripada produk lain, ia harus miliki sesuatu yang lebih istimewa daripada yang dimiliki oleh produk lain.

  1. Sentiasa terus berevolusi. Terbitkan versi baru produk anda selalu. Terbitkan produk yang sepadan dengan pelbagai tema, seperti tema perayaan. Bina pakej yang memikat hati di seluruh produk anda, mungkin melalui kerjasama dengan produk-produk lain yang ada kaitan. Gunakan teknik-teknik baru untuk mempromosi. Orang sukakan bisnes yang sentiasa berevolusi.

  1. Uruskan  sokongan anda sebaik-baiknya. Sentiasa cepat bertindakbalas terhadap keperluan pelanggan. Layani semua permintaan wang dikembalikan. Berikan jawapan kepada semua tiket sokongan dalam tempoh 24 jam atau kurang.

  1. Pertimbangkan keperluan pelanggan dan bentukkan produk anda sewajarnya. Blog dan forum adalah tempat yang bagus untuk mengetahui apa yang pasaran mahukan. Masukkan ciri-ciri ini dalam produk anda. Buatkan pasaran anda tahu bahawa anda telah melakukannya. Apabila anda menggabungkan cadangan-cadangan pasaran anda ke dalam produk anda, anda memperoleh rasa hormat mereka dan mereka rasa berbesar hati untuk berurusniaga dengan anda.

So, saya harap lepas ni anda praktikkan tips yang telah saya kongsikan kepada anda ya. :)