Kepentingan Rundingan Dalam Perniagaan



Sebagai seorang usahawan internet, lebih-lebih lagi jika anda merupakan seorang penjual barangan berbentuk fizikal, selalunya anda akan menjadi orang tengah di antara pembekal barangan dengan pembeli barangan. Ini dilakukan dengan cara mendapatkan bekalan barangan daripada si pembekal dan anda menjualnya semula pada harga yang lebih tinggi kepada orang lain sama ada melalui portal eBay, Lelong, Facebook atau di laman web anda sendiri.

Sesetengah usahawan internet biasanya akan berpuas hati dan akur sahaja terhadap harga yang ditetapkan oleh pembekal barangan kepadanya. Namun demikian, tahukah anda bahawa sekiranya andamengambil inisiatif untuk merunding harga bekalan tersebut, anda berkemungkinan mendapatkan harga yang lebih baik berserta dengan terma yang lebih memihak kepada anda? Anda cuma perlukan beberapa skil rundingan untuk mendapatkan keuntungan yang lebih baik dalam perniagaan internet anda.
Di sini saya ingin kongsikan beberapa kelebihan melakukan rundingan dan juga beberapa tips ringkas berkenaan cara untuk memupuk skil rundingan dalam perniagaan internet anda.

Kelebihan Memiliki Skil Rundingan
 
Dengan memiliki skil rundingan yang tepat, anda sebagai pembeli boleh:
1.   Mendapatkan harga belian terbaik daripada pembekal
2. Mendapatkan kuantiti dan kualiti barang yang anda inginkan pada harga terbaik.
3. Mendapatkan perkhidmatan selepas jualan terbaik daripada pembekal.

8 Tip Rundingan
 
Berikut saya senaraikan beberapa tip ringkas bagaimana untuk mengasah skil rundingan di dalam perniagaan internet anda:
1. Jangan rasa bersalah
 
Pertama sekali, anda tidak boleh merasa bersalah sekiranya meminta harga diskaun dan ingin berunding dengan pembekal. Lazimnya, harga yang diletakkan oleh pembekal adalah melebihi daripada kos mereka untuk membuat atau mendapatkan barangan jualan. Sekiranya kena caranya, pembekal akan dengan senang hati memberikan diskaun kepada anda kerana anda sudi berurusniaga dengan mereka dan berunding dengan cara berhemah dengan mereka.
2. Lakukan kajian
 
Sebelum memasuki arena rundingan, terlebih dahulu anda perlu mendapatkan maklumat lengkap mengenai barangan dan situasi yang berkaitan, seperti butiran model, harga, spesifikasi dan sebagainya untuk barang yang anda inginkan daripada pembekal. Anda tentu tidak mahu berunding untuk sesuatu yang sebenarnya anda sendiri tidak arif akan butirannya. Oleh itu, persiapan dengan memiliki maklumat yang menyeluruh akan dapat membantu anda semasa melakukan rundingan tersebut.
3. Bandingkan dengan tawaran pembekal
 
Setelah membuat kajian dan anda kini mempunyai maklumat berkaitan, anda bolehlah membandingkan harga yang ditawarkan oleh pembekal anda sama ada sesuai atau tidak. Anda mesti yakin bahawa harga yang ditawarkan oleh pembekal adalah sangat tinggi dan anda layak untuk berunding bagi mendapatkan harga yang lebih murah. Sekiranya terdapat pembekal lain yang boleh menawarkan harga yang lebih murah daripada apa yang anda terima daripada pembekal anda sekarang, sepatutnya tiada masalah untuk anda menghubungi pembekal lain tersebut untuk mendapatkan sebut-harga barangan daripada mereka.
4. Terma menyebelahi pembekal
 
Selalunya terma atau syarat di dalam pernjanjian atau kontrak anda dengan pembekal adalah berat sebelah. Ini bermaksud yang syarat dan terma tersebut adalah lebih berpihak kepada si pembekal. Oleh itu, anda mempunyai hak untuk berunding terma dan syarat kontrak supaya sama adil antara anda sebagai pembeli dan pembekal sebagai penjual.
5. Jangan terpengaruh dengan terma saintifik
 
Tip seterusnya yang anda perlu ingat ialah untuk tidak terpengaruh dengan sebarang terma saintifik yang digunakan oleh pembekal. Ini adalah kerana mereka mungkin cuba untuk mengalih perhatian anda dengan membuatkan anda kagum dengan kelebihan barangan mereka, dan barangan itu memang patut diletakkan harga yang mahal. Sebaliknya, anda telahpun membuat kajian ringkas mengenai barangan itu tadi, dan anda sendiri sebenarnya sedia maklum akan spesifikasi barangan tersebut dan harga yang berpatutan untuknya.
6. Capai "win-win situation"
 
Sebaik-baiknya di dalam rundingan, anda mengutamakan win-win situation atau situasi sama menang di mana anda dan si pembekal mendapat kelebihan di dalam syarat dan terma masing-masing. Anda harus ingat bahawa hubungan anda dengan pembekal adalah bersifat jangkamasa panjang dan hubungan baik yang anda bina ini akan memudahkan urusniaga anda yang lain pada masa hadapan. Oleh itu, jangan hanya ingin menangkan diri anda saja di atas meja rundingan tetapi cuba juga untuk membantu pembekal mendapat terma dan syarat yang baik daripada anda sebagai seorang usahawan internet.
7. Capai kata sepakat
 
Anda perlu memastikan bahawa sebarang persetujuan yang dicapai hasil daripada rundingan tersebut disepakati ketika itu juga dan juga dimasukkan di dalam minit perbincangan. Anda tidak seharusnya membiarkan keputusan itu tertakluk kepada perkara-perkara lain seperti penulisan perjanjian, kelulusan pengarah, nasihat peguam, inspeksi lokasi dan sebagainya. Ini untuk mengelakkan daripada si pembekal bertukar fikiran setelah berunding dengan anda. Sebaik-baiknya, si pembekal perlu membawa individu-individu yang boleh membuat keputusan untuk syarikatnya di dalam rundingan bersama anda.
8. Tulis semua perjanjian
 
Tip yang paling penting adalah anda mesti memastikan sebarang perjanjian yang dicapai dalam rundingan anda adalah dalam bentuk hitam putih dan ditandatangani oleh anda dan pembekal. Anda tidak seharusnya membiarkan perjanjian tersebut berakhir di mulut sahaja, kerana di lain hari, pembekal mungkin lupa akan perjanjian yang disepakati hasil rundingan anda. Ia juga untuk mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari sekiranya terdapat keadaan yang memerlukan kes anda dibawa ke mahkamah. Pihak hakim akan memerlukan bukti tertulis daripada anda untuk diterima di mahkamah.

 

Itulah sedikit perkongsian saya pada kali ini mengenai kepentingan dan tip rundingan di dalam perniagaan anda sebagai usahawan internet.
 
Kebolehan dan  keupayaan melakukan rundingan akan mengambil masa untuk dipupuk dan dikuasai. Oleh itu, mulalah berusaha dari sekarang agar anda boleh menjadi seorang usahawan internet yang hebat di dalam rundingan di masa hadapan.
 
Sehingga bertemu lagi di kesempatan yang lain, salam hormat dan salam kejayaan dari saya. :)

 

0 comments:

Post a Comment